Falsafah dalam seni Karate

"Musnah bisa ular untuk buang bisa" - konsep serangan dan belaan

Konsep ini amat popular dalam pengamal karate klasik, dimana ia amat sesuai digunapakai dalam pertarungan satu lawan satu diantara pakar-pakai beladiri. Secara mudahnya, kebanyakan pengamal seni perang akan mempunyai kelebihan samada mata yang cekap dan tajam, tangan (tumbukan) yang laju dan pantas, kaki (tendangan) yang laju dan lincah, kemahiran dalam penggunaan senjata tertentu dan sebarang kelebihan yang ada untuk pertarungan. Konsep ini digunapakai untuk memusnahkan kelebihan-kelebihan ini yang dianggap sebagai bisa. Tangan akan dipatahkan, mata-mata urat diputuskan, kaki dipatahkan, mata dibutakan sebagai melemahkan lawan.

Rakka ("Bunga yang berguguran")

Konsep pertahanan Karate. Maksudnya setiap teknik pertahanan perlu dilakukan dengan bertenaga dan mantap sehingga diumpamakan jika teknik itu dikenakan ke atas pokok, maka dengan kekuatan teknik itu, semua bunga dari pokok itu akan jatuh berguguran. Contohnya sekiranya musuh menyerang dengan menumbuk muka lalu pengamal karate membuat tangkisan atas yang kuat hingga menyebabkan tangan yang menumbuk itu patah, maka dengan tangkisan atas itu sudah cukup untuk membela diri tanpa perlu lagi membuat serangan balas.

"Air dan sutera"

Bagi kaedah ini, tumbukan dan belaan adalah bagi kawalan vektor asas yang menyeluruh, tetap dan murni saksama dengan sebarang serangan yang dibuat oleh pihak lawan. Pergerakan yang lembut dan lancar dari mampu dikekang dengan mudah dan harmoni apabila pergerakan yang menyeluruh dan variasi yang lancar dapat dilaksanakan.

Mizu no kokoro - "minda itu seperti air"

Sekiranya air di tasik itu tenang, maka ia boleh memantulkan imej dengan terang. Contohnya pada malam bulan mengambang, kita dapat melihat imej bulan mengambang di tasik yang tenang itu sangat terang dan sama seperti kita mendongak dan melihat bulan di langit. Namun apabila ketenangan tasik itu diganggu seperti dilontar dengan kelikir, maka tasik itu akan menimbulkan riak dan imej yang terbentuk di tasik itu tidak lagi jelas, malah akan kelihatan kabur (distorted). Begitulah juga minda perlu dijaga agar sentiasa tenang agar dapat membela diri dengan lebih cekap. Jika minda dikaburi dengan banyak gangguan fikiran, maka ia tidak mudah untuk bersedia membela diri.